Jumaat, 31 Disember 2010

Harimau Malaya Gergasi Baru ASEAN

Tahniah kepada anak-anak buah K.Rajagobal kerana berjaya membawa pulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama dan kejayaan itu bukan hanya kerja keras pemain dan jurulatih, tetapi juga ramai lagi di belakang tabir. Rakyat Malaysia sudah lama dahagakan kejayaan dalam bola sepak, maka dengan pengisytiharan cuti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan betapa pentingnya Malaysia untuk kembali menjadi jaguh kalau bukan di pelusuk dunia tetapi sekurang-kuranya di peringkat Asia Tenggara.

Kita sudah memegang pingat emas Sukan SEA 2009, masuk pusingan kedua Sukan Asia walaupun dengan pasukan yang serba kekurangan dan tempang, kita juga berjaya menyingkirkan jaguh bola sepak dan juga juara bertahan Piala Suzuki AFF iaitu Vietnam, dan kini negara kita pula menjuarai Piala Suzuki setelah 14 tahun menanti.

Kejuaran kita ini adalah kejuaran 1Malaysia. Pasukan kita seratus peratus anak tempatan, sama ada jurulatih atau pemain. Tahniah K.Rajagobal kerana dapat membentuk pasukan impian negara yang sekian lama kita cari selama ini. Kepada FAM, kita berharap pasukan impian ini dapat dikekalkan dan akan terus bersama bagi menghadapi kejohanan-kejohanan lain akan datang dan pada masa yang sama memantapkan lagi pasukan pelapis negara. Sekali lagi tahniah buat K.Rajagobal dan pemain-pemain Harimau Malaya.....

Rabu, 1 Disember 2010

Bola Sepak Kita.....

Sebagai rakyat Malaysia, saya turut bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian kontinjen negara di Sukan Asia 2010 yang pulang membawa pungutan 9 emas, 18 perak, dan 14 gangsa dari Guangzhou, China. Bagi pasukan bola sepak, walaupun kempunan sebarang pingat tewas kepada tuan rumah China 0-3 (yang diadili oleh pengadil kontroversi dari Australia, Ben Williams) tunduk 0-2 kepada Jepun dan menang ketika menentang Kyrgyzstan 2-1, tetapi harus juga diingat Malaysia menurunkan ramai pemain muda disamping persiapan yang sedikit tempang dengan senarai panjang kecederaan pemain utama negara.
Ramai pengkritik bola sepak tempatan terdiam seketika apabila pasukan negara berjaya melangkah ke peringkat kalah mati.  Pasukan negara yang tidak dletakkan sebagai pilihan dan dijangka menjadi pasukan belasahan mampu mara ke peringkat suku akhir.  Anak-anak buah K Rajagobal berjaya menutup mulut pengkritik bola sepak yang mengatakan pasukan negara akan pulang awal.  Meskipun tewas dengan kuasa bola sepak Asia, Iran dengan 1-3 di peringkat suku akhir, pencapaian skuad K Rajagobal bolehlah dipuji.
Hari ini pula pasukan kebangsaan kita akan turun beraksi dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki yang melibatkan pasukan-pasukan terbaik di Asia Tenggara. Pasukan negara diundi dalam kumpulan A bersama Indonesia, Thailand, dan Laos. Harapan kita biarlah pasukan muda negara menjadi juara di peringkat serantau ini sepertimana dibuktikan dalam Sukan Sea di Laos tahun lepas. Ayuh, bangkitlah anak-anak buah K. Rajagobal. Buktikan Malaysia Boleh. Tutup terus suara-suara sumbang yang tidak membantu pembangunan bola sepak negara.

     
Berikut adalah jadual perlawanan Piala AFF  yang membabitkan pasukan Malaysia.

Rabu (01 Disember 2010)

Indonesia lwn Malaysia
(Gelora Bung Karno, Jakarta, 7.30mlm)

Sabtu(04 Disember 2010)
Malaysia lwn Thailand
(Gelora Bung Karno, Jakarta, 5.00ptg)

Selasa(07 Disember 2010)
Malaysia lwn Laos
(Jalak Harupat, Bandung, 7.30mlm)